7:59 PM
Pada 1 Sept 2014, telah keluar satu artikel mengenai Klinik UPSR Wilayah Utara. Dalam Klinik UPSR ini, murid-murid SK Kampong Sadek telah terlibat. Ia telah diadakan di Pusat Islam UUM, Sintok. Syabas kepada Cikgu Mohamad bin Abd Salam diatas usaha beliau untuk melibatkan murid-murid SK Kampong Sadek. Ini adalah sebagai suatu persediaan kepada murid-murid tahun 6 yang akan mengambil peperiksaan UPSR pada tahun ini.
7:29 PM
Pada hari Khamis , 7 Ogos 2014 - Semua warga SK Kampong Sadek telah mengadakan Sambutan Hari Raya Peringkat Sekolah . Majlis sambutan ini disertai oleh semua guru dan kakitangan SK Kampong Sadek, murid-murid Prasekolah, Tahun 1 hingga tahun 6 dan turut dimeriahkan lagi dengan para jemputan. Majlis ini bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 1.15 tengah hari. Pengajaran dan Pembelajaran tetap dijalankan pada jam 7.45 pagi hingga 10.30 pagi. Antara program yang diadakan sepanjang sambutan ini ialah acara persembahan nyanyian daripada guru-guru dan murid-murid SK Kampong Sadek .Acara ini telah dijalankan di dewan sekolah. Semua warga sekolah kelihatan sangat gembira dan hari raya disambut dengan meriah sekali. Pelbagai juadah dan kuih-muih disediakan oleh pihak penganjur untuk dijamu kepada warga sekolah dan para jemputan. Harapan penganjur agar sambutan seperti ini akan terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang dan dijadikan acara tahunan. Majlis ini diadakan dengan kerjasama Badan Kebajikan Guru, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
6:28 PM
Pada 6 Ogos 2014, hujan telah turun dengan lebat bermula dari pagi sehinggalah ke jam 10.00 pagi. Hal ini telah menyebabkan air semakin bertambah dan menyebabkan limpahan air. Padang juga dipenuhi dengan air sehinggakan tidak dapat meneruskan aktiviti PdP di padang. Keadaan seperti ini jarang sekali berlaku dan ini merupakan satu pengalaman yang bermakna kepada semua pihak agar lebih bersedia sekiranya berlaku perkara seperti ini pada masa akan datang.
3:57 AM
Salam takziah diucapkan kepada semua penumpang serta anak kapal pesawat MH17 yang dipercayai ditembak di Ukraine/Russia. Seluruh warga SK Kampong Sadek berasa amat sedih dengan kejadian ini yang merupakan satu lagi kejadian selepas MH370 yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa dan kita perlu sentiasa muhasabah diri serta percaya kepada qada dan qadar yang telah ditentukan.
Al-Fatihah !
7:26 PM
Konsep
Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem
pendidikan Malaysia. Ia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan cabaran
ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang.
Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu menyumbang ke arah melahirkan
masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu menjana generasi pelajar yang seimbang dari segi
emosi, rohani, intelek, jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.
Gejala vandalisme dan ponteng
sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah-sekolah pada masa kini.
Gejala ini dapat ditangani apabila wujudnya sekolah penyayang. Kerana itu,
pihak Kementerian menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini,
terutama ponteng sekolah dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para
pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih
sayang dan bimbingan ini, murid akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk ke
sekolah. ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia, KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5 September 1995)
Oleh itu,
Sekolah Penyayang dirasakan adalah elemen penting dalam melahirkan warga negara
Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama. Apabila sekolah menyediakan
suasana yang kondusif dan baik, akan menarik minat para pelajar untuk ke
sekolah. Minda mereka akan dapat dibina dan diisi dengan unsur-unsur yang boleh
membangun jati diri sebagai warga Malaysia yang membesar dengan acuan
kita sendiri.
Warga SK Kampong Sadek sentiasa prihatin dengan amalan-amalan nilai murni yang diterapkan kepada murid-murid sekolah ini. Mereka diajar untuk memberi salam, memberi hormat kepada guru-guru serta pihak luar yang datang ke sekolah. Kebiasaannya, setiap bulan pihak sekolah akan memberikan cenderahati kepada murid-murid sebagai memperingati harijadi mereka. Ia sekaligus mewujudkan suasana harmonis serta menerapkan elemen Sekolah Penyanyang di kalangan warga sekolah.