Guru - Guru Bertugas 2016: [ 25 - 29 Sept 2016 : James Anthony A/L Minal, Siti Zarah bt Mohamad Sayuti, Shamina bt Yaakob ]

Saturday, May 9, 2009

Berita

Alat cegah jangkitan H1N1 akan diedarkan ke sekolah: Wee

JOHOR BAHRU: Kementerian Pelajaran akan mengedarkan alat mencegah jangkitan virus Influenza A (H1N1) ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga adalah sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," katanya selepas mendengar taklimat perkembangan H1N1 di Jabatan Pelajaran Johor, di sini, hari ini.


Wee berkata, Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran sudah meluluskan peruntukan tersebut dan semua Jabatan Pelajaran Negeri dijangka menerima peralatan itu dalam masa terdekat untuk diedar ke sekolah.


Beliau berkata, setiap sekolah akan menerima satu termometer manakala jumlah topeng muka dan bahan penyahkuman bergantung kepada bilangan pelajar di sesebuah sekolah.

Dalam perkembangan terbaru, katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru di Taman Johor Jaya, di sini, diarahkan ditutup selama seminggu mulai hari ini, selepas tiga pelajarnya disahkan positif H1N1.
Minggu lalu, Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Baharu diarah tutup apabila 51 pelajarnya disahkan mengalami penyakit serupa Influenza (ILI).

Wee berkata, persediaan rapi juga sedang dibuat sebagai persediaan mengendalikan peperiksaan utama di sekolah yang dijangkiti H1N1 dengan semua sekolah dan pengawas peperiksaan diminta menyediakan bilik khas bagi menempatkan pelajar yang dijangkiti virus itu menduduki peperiksaan.

"Kita akan memulakan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 8 hingga 10 September depan sebelum diikuti peperiksaan utama lain. Pelbagai alternatif sedang dibuat sebagai persediaan mengendalikan peperiksaan dalam menghadapi wabak ini," katanya.

Selain H1N1, Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata pihaknya turut memandang serius kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 2, di sini dan kejadian keracunan makanan membabitkan 349 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat, dekat Tangkak, minggu lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian terbaru, seramai 10 lagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 2 dilaporkan mengalami gangguan histeria pagi ini sejak kejadian itu bermula dua bulan lalu.

"Saya sudah mendapatkan maklumat daripada pengetua dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai kedua-dua sekolah ini.

"Kita akan menggunakan pendekatan yang sama seperti digunakan untuk menangani gangguan histeria di Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, tahun lalu seperti mendapatkan bantuan Jabatan Agama, pakar psikiatri dan pengamal perubatan tradisional," katanya. - Bernama